Friday, July 19, 2019

Adab Menyambut Kelahiran Bayi Dalam Islam

Dalam ajaran agama Islam, seseorang ibu yang sudah melahirkan anak dan kemudiannya baru sahaja menimang cahaya mata adalah amat disarankan untuk menyambut kelahiran bayi baharunya. Namun begitu, tidak banyak perbezaan dalam melaksanakan adab menyambut kelahiran bayi dalam Islam sesuai dengan sifat agama Islam itu yang mudah dan praktikal. Panggilan bagi menyambut anak lelaki adalah disebut "Salamun Zakrun" yang bererti: Salam sejahtera anak lelaki.Manakala panggilan untuk menyambut anak perempuan adalah disebut sebagai "Salamun An-Nisaa" yang bererti: Salam sejahtera anak perempuan.

Kelahiran cahaya mata yang ke-4 pada 25 Nov 2018


Alhamdulillah, syukur kepada Allah

  • Membersihkan & dimandikan bayi itu dengan betul dan baik agar posisi anak itu bersih dan sihat. 
  • Sunat untuk diazankan di telinga kanan bayi lelaki dan perempuan yang masih bayi sesudah kelahirannya.Dan juga disunatkan untuk diiqamatkan di telinga kiri bayi lelaki dan perempuan yang masih bayi sesudah kelahirannya. 
  • Sunat 'Tahnik' atau belah mulut yang dilakukan selepas anak dilahirkan. Tahnik ialah mengunyah buah kurma selalunya diletakkan sedikit pada lidah bayi yang baru dilahirkan. Selain daripada Kurma, manisan lain seperti titisan madu, nira nipah atau kelapa juga boleh digunakan. 
  • Sunat menamakan anak yang baru dilahirkan dengan dengan nama-nama yang baik dalam masa 7 hari selepas kelahiran.
  • Mencukur rambut Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya.
  • Sunat "Aqiqah" bagi anak baru lahir. Aqiqah yang membawa maksud penyembelihan binatang ternakan seperti lembu, kerbau, ataupun kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi. Lebih afdhal dilakukan pada hari ketujuh sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala.
  • Berkhatan dimana tujan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian zahir dan batin umat manusia selain untuk menguatkan minda dan badan dan mencantikkan paras rupa dan wajah.

Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah

Awal Muharram bakal tiba lagi menemui kita semua. Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Islam. Tarikh Maal Hijrah tahun 2019 bersamaan dengan 1441-H akan jatuh pada hari Ahad, 1 September 2019 yang merupakan cuti umum. 

Sempena dengan kedatangan tahun baru Islam 1441-H atau Awal Muharam berikut dikongsikan Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah sebagai panduan untuk semua umat Islam. Doa ini merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus diamalkan oleh setiap umat Islam. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yang lalu diampunkan dan amalan kita diterima. Jua berdoalah kita moga di tahun baru kita beroleh kekuatan dari Allah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu melakukan amal ibadah sebanyak mungkin. 

Ameen dan Selamat Beramal;



Final Piala FA 2018


Final Piala FA 2018 telah menemukan diantara gergasi Lembah Klang iaitu Selangor dengan gergasi Pantai Timur, Pahang. Aku selaku anak jati Pahang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Bersama ayah, anak dan rakan-rakanku kami semua berkumpul di stadium menyaksikan perlawanan pentas akhir ini.


Sepanjang perlawanan, Pahang mengekalkan momentum cemerlang mereka sementara Selangor ternyata bergelut untuk memecahkan pertahanan lawan dan mengekang segala asakan daripada pemain Pahang. Perlawanan yang sememangnya menarik telah dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan namun ternyata Pahang dengan gelaran "Tok Gajah" lebih menguasai perlawanan sehingga ke wisel penamat. Keputusan penuh menyaksikan Pahang  berjaya mengatasi Selangor dengan jaringan 2-0 seterusnya mengesahkan kejuaraan Piala FA edisi 2018. Diharap Pahang FA atau "Tok Gajah" terus maju dan cemerlang.




Thursday, July 18, 2019

Barang Antik


Siapa sangka daripada sebuah jentera yang boleh dikategorikan sebagai barang lupus, motosikal scrambler retro yang menjalani proses baik pulih boleh mencecah harga ribuan ringgit. Model motosikal terbabit juga pernah menjadi kegilaan golongan muda di negara ini kerana digunakan dalam filem percintaan remaja era 1980-an antaranya Gila-Gila Remaja dan Ali Setan.


Motorsikal Suzuki antik ini adalah kepunyaan ayahku yang mana usia motor ini sudah menjangkau 37 tahun. Dahulunya digunakan untuk membawa aku dan adik-adik ke sekolah. Setelah terbiar selama lebih kurang 15 tahun, ia kembali kepada bentuk asal setelah menjalani proses ubah suai selama 6 bulan disebabkan cabaran dalam mencari alat ganti dan aksesorinya.




Kini ia kembali berfungsi dan sememangnya rasa keterujaan amat tinggi. Generasi baru terutama anak-anakku dapat mengenali motorsikal lagenda ini. Semoga ia dapat terus berkhidmat kepada keluargaku.

Hapuskan lipas di rumah dengan 5 langkah


Lipas merupakan serangga kotor yang sukar untuk kita hapuskan. Iklim panas dan lembab menyebabkan serangga seperti lipas berkeliaran di dalam rumah tak kira masa. Jika kehadiran lipas membuatkan anda lari lintang pukang dan ditambah pula dengan rasa jijik, boleh cuba angkah-langkah yang paling berkesan dibawah ini.
1. Umpan
Anda mungkin tak sangka bahan-bahan seperti asid borik dan diatomaceous earth sangat berkesan untuk menghapuskan lipas di rumah. Hal ini demikian kerana, asid bertindak sebagai racun yang menghancurkan perut lipas manakala diatomaceous earth pula memecahkan bahagian rangka luar lipas tersebut.
Untuk menghasilkan racun ini, anda cuma perlu campurkan tiga bahagian asid borik dan satu bahagian gula. Pastikan semua bahan dicampur dengan sebati. Kemudian, renjiskan campuran ini ditempat-tempat yang selalu ada lipas. Contohnya, di bawah sinki dan di pantri semburkan lapisan nipis di kawasan tersebut untuk mengelakkan serangga-serangga ini daripada berkeliaran disekelilingnya.

Taburkan asid borik dan serbuk gula halus di kawasan yang terdapat lipas


2. Cuci, cuci dan cuci lagi
Serangga perosak terutamanya lipas sangat sukakan kawasan-kawasan yang berminyak dan kotor, ibarat kanak-kanak yang sukakan gula-gula. Periksa dapur anda dan segera bertindak sekiranya terdapat kotoran seperti berikut:
• Tumpahan makanan di permukaan dapur atau periuk
• Cerek atau perkakas dapur yang berminyak
• Serdak pada pembakar roti
• Kotak-kotak makanan ringan dan bijirin yang tidak ditutup
• Pinggan mangkuk kotor di dalam sinki atau mesin pencuci
• Makanan haiwan peliharaan yang ditinggalkan terbuka dan tidak bertutup
• Plastik sampah yang terbuka
• Sisa makanan di permukaan lantai dapur dan benchtop

Bersihkan semua tumpahan makanan dan kesan minyak pada setiap malam. Sebaik-baiknya selepas memasak. Selain itu, simpan semua lebihan makanan di dalam bekas kedap udara termasuklah makanan haiwan peliharaan tersayang.
Jangan biarkan pinggan mangkuk kotor ditinggalkan didalam sinki dan pasangkan plag/perangkap sekiranya sinki tidak digunakan untuk mengelakkan lipas daripada masuk ke dalam rumah melalui saluran paip.
Di samping itu, galakkan ahli keluarga anda untuk menikmati juadah dan snek di dapur dan ruang makan, bukannya di atas sofa. Ini bertujuan untuk mengurangkan kehadiran lipas yang sememangnya tertarik dengan sisa-sisa makanan.

Bersihkan di setiap penjuru dan celah-celah dapur anda untuk menghapuskan lipas


3. Tutup semua lubang dan rekahan
Walaupun anda tinggal di apartment, anda tetap tidak terlepas dari masalah lipas. Jiran-jiran yang pengotor boleh menyebabkan rumah anda juga terkena serangan serangga ini.
Beli perekat atau sealant untuk menutup sebarang lubang dan rekahan disekeliling apartment anda untuk menghalang serangga yang tidak menyenangkan ini daripada masuk kedalam rumah.
Ini kerana, serangga jahat ini akan tetap masuk melalui ruang-ruang yang tersembunyi tak kira berapa kali anda bersihkan rumah.

Anda boleh gunakan perekat atau sealant untuk menutupnya

 
4. Baik pulih kebocoran air
Tahukah anda lipas boleh bertahan sehingga satu bulan tanpa makanan tetapi hanya boleh bertahan selama seminggu atau dua minggu tanpa air?
Hapuskan serangga ini dengan memeriksa dan membuat kerja baik pulih untuk semua kebocoran air di rumah anda. Selain itu, lapkan pancuran air dan tab mandi selepas digunakan, keringkan sinki dapur, perahkan kain lap dan keringkan serta merta.


Pastikan air dari paip tidak menitik dan semua meja dan kerusi di lap kering untuk mengelak daripada lipas yang sukakan kelembapan

 
5. Dapatkan khidmat profesional
Anda dah cuba semua cara tapi lipas masih bebas berkeliaran di dalam rumah? Sudah tiba masanya untuk anda dapatkan khidmat professional!
Tidak kira sama ada ini kali pertama atau kali ke-12 anda dapatkan khidmat kawalan serangga perosak, anda boleh bertanya dengan orang sekeliling dan buat kaji selidik tentang bagaimana mereka hapuskan serangga tersebut.
Kebanyakkan produk-produk untuk hapuskan serangga perosak bersifat toksik dan boleh memudaratkan kanak-kanak serta haiwan peliharaan. Jangan risau, ada banyak produk-produk lain yang tidak bertoksik dan selamat untuk digunakan.

Jika anda masih tidak dapat menghapuskan lipas dengan cara anda, lebih baik anda dapatkan khidmat daripada profesional




Syawal 2019



Alhamdulillah aku dan keluarga telah menyambut Syawal 2019 di kampungku di Pahang. Cuti yang panjang dapat dimanfaatkan seiring dengan sambutan perayaan hari raya pada kali ini. Seperti biasa sehari sebelum datangnya Syawal, aku dan keluarga mesti menyediakan menu wajib iaitu rendang, ketupat dan lemang. Proses pembuatan yang agak lama tetapi amat menyeronokkan.
 



Pengalaman yang cukup bermakna bagi anak-anakku yang mana mereka dapat belajar cara-cara penyediaan menu-menu yang boleh dikira tradisional untuk sambutan hari raya.

Setibanya 1 syawal, kami semua pergi ke masjid bagi menunaikan solat sunat syawal dan setelah selesai kami menziarahi rumah sedara mara. Itula kisah Syawalku.



Makan ulam-ulaman boleh awet muda?


Selain amalan senaman dan penjagaan kesihatan yang baik, antara bahan makanan yang boleh bantu anda yang mahu ‘awet muda’ ialah pengambilan sayur-sayuran dan ulam-ulaman setiap hari disamping zat makanan yang lain.
Ia dipercayai penting untuk kelancaran proses penghadaman dan pencernaan. Jika kesuntukan masa untuk menyediakan masakan sayur, boleh amalkan ulam-ulaman. Mudah, sihat dan tak perlu dimasak melainkan dicelur atau direbus sebentar. Lebih enak jika ada sambal belacan!
Senarai Ulam Yang Mahu Awet Muda
1. Jantung pisang
Diperolehi daripada pokok pisang, jantung pisang atau bunga pisang ini berwarna merah keunguan. Tinggi serat dan mampu bantu elak sembelit, jantung pisang boleh menjadi menu yang baik semasa bulan puasa. Boleh direbus atau dicelur, dimasak lemak putih atau dibuat kerabu.
2. Ulam raja
Ulam raja hanya perlu dicuci bersih dan boleh terus dimakan mentah. Ibu dalam pantang pun bagus makan ulam raja ni. Nak tanam pun mudah sahaja. Antara khasiat ulam raja, bantu meremajakan kulit. Bolehlah diamalkan untuk awet muda.
3. Kacang botor/kelisa
Kacang botor boleh dimakan mentah atau dimasak. Lazimnya dikacau goreng. Pilih yang muda dan segar untuk rasa yang lebih enak. Kaya dengan protein dan mineral.
4. Timun Jepun
Ini antara ulam yang sedap dan rangup. Boleh dimakan dengan apa jua menu. Dipercayai timun dapat atasi masalah sembelit dan gastrik. Jadi, boleh amalkan memakan ulam timun sepanjang berpuasa ini.
5. Petai
Salah satu ulam kegemaran rakyat Malaysia ni. Sama ada direbus atau dibakar, enak dimakan bersama sambal. Apatah lagi dimasukkan dalam sambal tumis! Biarpun bau petai kurang menyenangkan, tapi khasiatnya banyak. Kaya antioksidan dan serat untuk kesihatan tubuh anda.
6. Cekur
Pokok cekur, daripada rizom, pucuk dan daunnya semua boleh dimakan dan tinggi khasiat. Ulam kegemaran orang Jawa dan sering juga digunakan oleh ibu yang sedang berpantang untuk kecutkan rahim dan membuang angin. Selain rangup, cekur juga memberi aroma harum pada masakan.
7. Pegaga
Antara ulam yang popular dan sering dijumpai. Pegaga boleh dimakan begitu sahaja bersama sambal, dibuat jus atau dijadikan kerabu. Amalan meminum air rebusan pegaga pula dikatakan boleh menaikkan seri wajah. Bagus ni menjelang raya nanti untuk mendapat kulit muka berseri.
8. Bendi rebus
Selain dijadikan bahan dalam masakan seperti asam pedas dan kari, bendi juga lazat dimakan bersama sambal. Hanya celurkan sebentar hingga lembut. Antara khasiat bendi adalah menguatkan ingatan dan kecergasan memori. Juga merupakan satu sumber makanan yang baik untuk mereka yang menghadapi masalah sembelit, merawat ulser, mengurangkan darah haid berlebihan, untuk meningkatkan kesuburan, melegakan bengkak dan radang.
9. Selom
Daun selom biasa dimakan bersama laksa Kedah atau dibuat urap. Dijadikan ulam juga tak kurang enaknya. Mengandungi pelbagai nutrien antaranya kalsium dan vitamin C yang baik untuk kesihatan. Daun selom juga mudah ditanam dan boleh tumbuh meliar di kawasan berair dan lembap.
10. Pucuk ubi
Pucuk ubi rebus merupakan salah satu bahan utama dalam pecal Jawa. Tapi nak dicicah dengan sambal belacan pun sedap juga. Khasiat pucuk ubi antaranya dapat mengurangkan sakit kepala manakala air rebusannya pula dapat meredakan masalah cirit-birit.
11. Kaduk
Daun yang seakan-akan daun sirih ini menjadi bahan utama dalam menu snek tradisional Thai iaitu Miang-kham. Ia boleh juga dicelur sebentar dan dimakan bersama sambal. Air rebusan daun kaduk pula dikatakan dapat melawas kencing, melegakan selsema, sakit pinggang dan sengal tulang.
12. Jering
Mungkin ada yang kurang menggemari ulam ini disebabkan bau dan rasa nya yang agak tajam berbanding petai. Tetapi jering banyak khasiatnya kepada kesihatan. Antaranya mengawal kadar gula dalam darah, bantu kurangkan masalah anemia dan reput tulang.
13. Terung pipit
Berbentuk bulat, berwarna hijau dan bersaiz kecil, terung pipit sememangnya berbeza berbanding terung biasa. Rasanya sedikit pahit, jadi sedap jika dimakan bersama makanan pedas. Memang enak! Boleh direbus hingga lembut atau dimasukkan ke dalam sambal. Terung pipit dikatakan dapat melegakan sakit perut dan mengurangkan rekahan tumit kaki.
14. Rebung
Selain dibuat masak lemak, rebung juga boleh dijadikan ulam. Rebus dan hiriskan. Khasiat rebung? Bantu turunkan kolesterol, menyihatkan sistem pencernaan dan bantu proses detoksifikasi badan.
15. Peria katak
Biarpun rasanya amat pahit tapi kaya dengan khasiat. Dipercayai dapat bantu rendahkan tekanan darah tinggi dan kawal paras gula darah pada pesakit diabetes. Jika mampu tahan pahit, boleh dimakan mentah. Jika tidak, boleh cuba masak goreng bersama ikan bilis atau taucu.
Bagi anda yang mahu awet muda tapi ada masalah kesihatan atau was-was dengan apa yang dicadangkan di atas ini, mohon bertanya terlebih dahulu dengan doktor, ahli dietetik atau ahli pemakanan.