Selain amalan senaman dan penjagaan kesihatan yang
baik, antara bahan makanan yang boleh bantu anda yang mahu ‘awet muda’ ialah
pengambilan sayur-sayuran dan ulam-ulaman setiap hari disamping zat makanan
yang lain.
Ia dipercayai penting untuk kelancaran proses
penghadaman dan pencernaan. Jika kesuntukan masa untuk menyediakan masakan
sayur, boleh amalkan ulam-ulaman. Mudah, sihat dan tak perlu dimasak melainkan
dicelur atau direbus sebentar. Lebih enak jika ada sambal belacan!
Senarai Ulam Yang Mahu Awet Muda
1. Jantung pisang
Diperolehi daripada pokok pisang, jantung pisang
atau bunga pisang ini berwarna merah keunguan. Tinggi serat dan mampu bantu
elak sembelit, jantung pisang boleh menjadi menu yang baik semasa bulan puasa.
Boleh direbus atau dicelur, dimasak lemak putih atau dibuat kerabu.
2. Ulam raja
Ulam raja hanya perlu dicuci bersih dan boleh terus
dimakan mentah. Ibu dalam pantang pun bagus makan ulam raja ni. Nak tanam pun
mudah sahaja. Antara khasiat ulam raja, bantu meremajakan kulit. Bolehlah
diamalkan untuk awet muda.
3. Kacang botor/kelisa
Kacang botor boleh dimakan mentah atau dimasak.
Lazimnya dikacau goreng. Pilih yang muda dan segar untuk rasa yang lebih enak.
Kaya dengan protein dan mineral.
4. Timun Jepun
Ini antara ulam yang sedap dan rangup. Boleh
dimakan dengan apa jua menu. Dipercayai timun dapat atasi masalah sembelit dan
gastrik. Jadi, boleh amalkan memakan ulam timun sepanjang berpuasa ini.
5. Petai
Salah satu ulam kegemaran rakyat Malaysia ni. Sama
ada direbus atau dibakar, enak dimakan bersama sambal. Apatah lagi dimasukkan
dalam sambal tumis! Biarpun bau petai kurang menyenangkan, tapi khasiatnya
banyak. Kaya antioksidan dan serat untuk kesihatan tubuh anda.
6. Cekur
Pokok cekur, daripada rizom, pucuk dan daunnya
semua boleh dimakan dan tinggi khasiat. Ulam kegemaran orang Jawa dan sering
juga digunakan oleh ibu yang sedang berpantang untuk kecutkan rahim dan
membuang angin. Selain rangup, cekur juga memberi aroma harum pada masakan.
7. Pegaga
Antara ulam yang popular dan sering dijumpai.
Pegaga boleh dimakan begitu sahaja bersama sambal, dibuat jus atau dijadikan
kerabu. Amalan meminum air rebusan pegaga pula dikatakan boleh menaikkan seri
wajah. Bagus ni menjelang raya nanti untuk mendapat kulit muka berseri.
8. Bendi rebus
Selain dijadikan bahan dalam masakan seperti asam
pedas dan kari, bendi juga lazat dimakan bersama sambal. Hanya celurkan
sebentar hingga lembut. Antara khasiat bendi adalah menguatkan ingatan dan
kecergasan memori. Juga merupakan satu sumber makanan yang baik untuk mereka
yang menghadapi masalah sembelit, merawat ulser, mengurangkan darah haid
berlebihan, untuk meningkatkan kesuburan, melegakan bengkak dan radang.
9. Selom
Daun selom biasa dimakan bersama laksa Kedah atau
dibuat urap. Dijadikan ulam juga tak kurang enaknya. Mengandungi pelbagai
nutrien antaranya kalsium dan vitamin C yang baik untuk kesihatan. Daun selom
juga mudah ditanam dan boleh tumbuh meliar di kawasan berair dan lembap.
10. Pucuk ubi
Pucuk ubi rebus merupakan salah satu bahan utama
dalam pecal Jawa. Tapi nak dicicah dengan sambal belacan pun sedap juga.
Khasiat pucuk ubi antaranya dapat mengurangkan sakit kepala manakala air
rebusannya pula dapat meredakan masalah cirit-birit.
11. Kaduk
Daun yang seakan-akan daun sirih ini menjadi bahan
utama dalam menu snek tradisional Thai iaitu Miang-kham. Ia boleh juga dicelur
sebentar dan dimakan bersama sambal. Air rebusan daun kaduk pula dikatakan
dapat melawas kencing, melegakan selsema, sakit pinggang dan sengal tulang.
12. Jering
Mungkin ada yang kurang menggemari ulam ini
disebabkan bau dan rasa nya yang agak tajam berbanding petai. Tetapi jering
banyak khasiatnya kepada kesihatan. Antaranya mengawal kadar gula dalam darah,
bantu kurangkan masalah anemia dan reput tulang.
13. Terung pipit
Berbentuk bulat, berwarna hijau dan bersaiz kecil,
terung pipit sememangnya berbeza berbanding terung biasa. Rasanya sedikit
pahit, jadi sedap jika dimakan bersama makanan pedas. Memang enak! Boleh
direbus hingga lembut atau dimasukkan ke dalam sambal. Terung pipit dikatakan
dapat melegakan sakit perut dan mengurangkan rekahan tumit kaki.
14. Rebung
Selain dibuat masak lemak, rebung juga boleh
dijadikan ulam. Rebus dan hiriskan. Khasiat rebung? Bantu turunkan kolesterol,
menyihatkan sistem pencernaan dan bantu proses detoksifikasi badan.
15. Peria katak
Biarpun rasanya amat pahit tapi kaya dengan
khasiat. Dipercayai dapat bantu rendahkan tekanan darah tinggi dan kawal paras
gula darah pada pesakit diabetes. Jika mampu tahan pahit, boleh dimakan mentah.
Jika tidak, boleh cuba masak goreng bersama ikan bilis atau taucu.
Bagi anda yang mahu awet muda tapi ada masalah
kesihatan atau was-was dengan apa yang dicadangkan di atas ini, mohon bertanya
terlebih dahulu dengan doktor, ahli dietetik atau ahli pemakanan.
No comments:
Post a Comment