Sunday, June 30, 2019

My Kampung


Kampung Tualang Padang merupakan sebuah kampung yang terletak di daerah Kuala Lipis, Pahang. Perjalanan dari Ibu Kota mengambil masa sekitar 2-3 jam sahaja. Di sinilah tempat dimana saya dilahirkan pada 36 tahun yang lalu. Kampung ini mungkin kecil pada pandangan orang lain, tetapi pada saya ia amat bermakna kerana banyak memori semasa saya dibesarkan disini. 

Majoriti penduduk disini ialah beragama Islam dan berbangsa Melayu. Populasi penduduk tidak melebihi 100 orang. Pendidikan awal penduduk kampung ialah di S.K Chat. Selepas itu kebanyakkan mereka berhijrah ke luar kawasan untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Sebahagian daripada anak-anak kampung telah menetap di bandar dan bekerja di sana dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Hanya sebahagian daripada mereka yang bekerja di kampung seperti berkebun, menoreh getah, menguruskan ladang kelapa sawit dan melakukan perniagaan 'IKS'.

Salah satu produk IKS yang terkenal di Kampung Tualang Padang ialah 'Gula Kabung'. Pembuatan gula kabung memang merumitkan tetapi rasanya amat istimewa. Gula kabung diperbuat daripada air nira atau tuak pokok kabung. Kegunaan utama gula kabung adalah sebagai bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan juga minuman.


Sumber Google: Gula kabung yang baru dimasak dan dimasukkan kedalam acuan.


Sumber Google: Gula kabung yang siap dibalut dengan pucuk daun kabung yang dikeringkan dan sedia untuk dijual.

Selain itu, terdapat tempat rekreasi yang berdekatan untuk dilawati seperti Air Terjun Lata Jarum dan Pulau Chekas di Ulu Dong, Raub. Air yang bersih dan sejuk di sana menarik minat pengunjung untuk bermandi manda atau berkhemah. Selain itu terdapat tempat lain yang anda boleh kunjungi seperti Zoo Lipis, Muzium Warisan Lipis dan lain lain.


Sumber Google: Pemandangan air terjun Lata Jarum.


Penduduk kampung saya juga masih mengamalkan aktiviti bergotong royong jikalau ada acara kenduri atau perkahwinan. Mereka juga gemar berkumpul untuk mengeratkan silaturrahim. Saya berharap semoga Kampung Tualang Padang akan sentiasa aman, damai serta maju membangun seiring dengan perubahan zaman.